Saturday, November 22, 2008

Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan

Assalamu'alaikum,

Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan merupakan tajuk blog yang dikelolakan oleh seorang Professor Perakaunan. Satu blog yang amat bagus untuk dibaca. Sesuai dengan tajuk, setiap entrinya ringkas, tapi signifikan. Itulah blog kepunyaan Prof. Dr. Hj. Muhd Kamil Bin Hj. Ibrahim [Prof. MKI]


Perkenalan dengan Prof. MKI: Kebetulan atau Perancangan [Tuhan]

Setelah tamat menjalani kursus Industrial Skills Enhancement Program (INSEP) di Advanced Manufacturing Institute (AMI), saya dan beberapa rakan meneruskan hubungan secara online melalui blog. Bahkan, kami telah membina satu blog khas untuk peserta kursus Natural Bio-Product Development (NBD) ambilan pertama. Setelah lama tidak berjumpa, dan penulisan melalui blog tersebut menjadi amat jarang dilakukan, Encik Yazid telah meletakkan satu entri yang menghubungkan kepada capaian blog peribadi beberapa peserta kursus NBD. Rupa-rupanya, kami lebih banyak menulis di blog peribadi berbanding di blog usaha-sama tersebut. Encik Yazid juga ada meletakkan satu capaian kepada blog salah seorang tenaga pengajar kami semasa di AMI, Puan Mahasuria Idris.

Sifat ingin mengetahui pemikiran guru yang pernah mengajar, melayarkan saya ke blog Puan Mahasuria. Sambil membaca blog beliau, saya juga memasuki beberapa blog lain yang Puan Mahasuria pautkan pada blog beliau. Salah pautan tersebut telah menemukan saya dengan laman blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan.

Membaca laman blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan yang ditulis oleh Prof. MKI mendamaikan jiwa. Ianya ringkas, tapi signifikan. Bahasa yang digunakan juga amat bagus dan terkesan.

Sesuatu yang menarik tentang laman blog ini semasa saya baru berjinak-jinak dengannya, ialah kekerapan penceritaan tentang pengalaman mengerjakan haji dan buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman [TH:MSI]. Saya teruja!

Saya merasakan amat dekat dengan Prof. MKI, walaupun hakikatnya saya tidak pernah mengenali beliau. "Ada chemistry" kata orang! Sehinggalah pada suatu ketika, saya berpeluang mendapatkan buku TH:MSI tersebut.

Saya membaca helaian demi helaian buku TH:MSI. Sedari awal membaca buku tersebut, saya merasakan saya pernah berjumpa dengan Prof. MKI. Sehinggalah saya membaca mukasurat 15, nasihat [Puan] Roza kepada Prof. MKI:
"Abang mudah bangun tengah malam. Boleh menulis."
Otak saya tiba-tiba mengolah ayat tersebut sebagai
"...mudah bangun malam untuk menulis..."
dan ditambah dengan beberapa kata-kata lain seperti
"...jika satu malam menulis satu muka surat, maka setahun telah mendapat 365 muka surat. Cukup untuk sebuah buku...",
saya tersentak. Siapakah Prof. MKI sebenarnya? Kenapa rasa seperti saya begitu dekat dengannya? Saya membuka blog beliau Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan. Cuba mencari sesuatu....

Saya melayari blog Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan dari entrinya yang pertama, Masuk entri yang kedua bertajuk "kehebatan cinta", saya terkesan dengan ayat "...bekas staf akademik saya di Fakulti Sains Sukan (FSR)."
lalu saya teruskan membaca sehinggalah kepada ayat
"Apatah lagi sepanjang saya berjawat jawatan Dekan di FSR,..."

Allahu akbar! Itulah yang terkeluar dari mulut saya.

Ternyata saya pernah bertemu dengan Prof. MKI. Bertemu dalam erti kata saya pernah mendengar ucapan beliau semasa di awal kemasukan saya di UiTM Shah Alam. Ucapan di dalam forum "Ada Apa Dengan Cinta" yang diadakan di Dewan Seri Budiman pada 2003.

Saya masih ingat lagi kata-kata beliau, "Saya tak boleh cakap I LOVE YOU pada isteri saya. Tiap-tiap kali saya cakap I LOVE YOU pada isteri saya, sembilan bulan kemudian dapat seorang anak. Bayangkan kalau hari-hari saya cakap..."

Bahkan frasa mudah bangun malam juga diucapkan dalam forum tersebut. Ini kerana, beliau sangat cintakan isteri beliau. Jika anak menangis di tengah malam, beliau yang akan bangun membuatkan susu atau menukar lampin anak beliau. "Isteri saya dah penat menjaga anak di waktu siang", katanya. Alang-alang sudah bangun, beliau menulis.

Adakah ini pertemuan ini satu kebetulan yang sia-sia? Sesungguhnya tidak. Mustahil Allah menjadikan sesuatu itu sia-sia.